Apartheid

Israel menghapuskan penempatan Ras Ain al-Auja di Tebing Barat

Penceroboh Israel bersenjata yang disokong kerajaan, telah memaksa penduduk Badwi Palestine di Ras Ain al-Auja meninggalkan penempatan mereka di Tebing Barat.
Penceroboh Israel bersenjata yang dibiayai dan disokong oleh kerajaan telah memasuki kawasan Ras Ain al-Auja bersama ratusan ekor biri-biri untuk merampas tanah. Penduduk tempatan mengambarkan mereka terpaksa membongkar rumah sendiri dibawah tekanan keganasan berpanjangan, kecurian dan ketakutan berterusan.

Penduduk belum sempat menghabiskan pembongkaran rumah mereka dan memuatkan barang peribadi ke atas lori apabila pengembala Israel,  kebanyakkannya bersenjata, mula bergerak memasuki kawasan tersebut bersama ratusan ekor biri-biri, lalu mengambil alih lembah subur Ras Ain al-Auja. 

Sejak 10 Januari, berpuluh-puluh keluarga Palestin yang mendiami kawasan utara Bandar Jericho di Tebing Barat yang dijajah telah dipaksa berpindah dari tanah yang telah mereka diami selama beberapa generasi, ditengah-tengah peningkatan keganasan penceroboh dan rampasan tanah  yang disokong kerajaan Israel.

Pada suatu ketika dahulu, Ras Ain al-Auja merupakan perkampungan terbesar Badwi Palestin di Tebing Barat, dengan kira-kira 1,200 penduduk. Sehingga baru-baru ini, ia merupakan perkampungan badwi terakhir yang masih bertahan di antara wilayah Ramallah dan Jericho, selepas banyak komuniti lain dipaksa keluar dan dihapuskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kini, hampir kesemua 120 keluarga telah dipaksa keluar dari dari kampung mereka, Ras Ain al-Auja. 

“Kami telah menderita lebih 2 tahun, kami sudah tidak mampu bertahan lagi,” kata Salameh Mahmoud Salameh jurucakap kampung kepada Mondoweiss. “Kami hidup dibawah kepungan penceroboh, sampaikan bila anak kami  sakit, kami tidak mampu membawa anak berjumpa doktor.”

Ketika mengemas barang-barang peribadinya, Salameh menceritakan bagaimana beliau dan keluarganya diasingkan daripada penduduk lain, serta dinafikan akses kepada bekalan air dan keperluan asas. “Kami tidak boleh terus tinggal disini, kami bimbang keselamatan anak-anak dan keluarga kami. Kami takut kampung kami dibakar,” katanya.

“Kami merasakan peristiwa 1948 dan 1967 sedang berulang dan masa depan kami kini tidak menentu.” tambahnya merujuk kepada pengusiran besar-besaran rakyat Palestin pada tahun-tahun tersebut.

Suasana di Ras Ain al-Auja dipenuhi kesedihan dan kemarahan yang mendalam. Golongan muda dan warga emas bekerja seiring, membongkar rumah mereka sendiri, dan menyelamatkan apa sahaja yang mampu dibawa ketika kewujudan mereka dipadamkan secara perlahan. 

Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, pencerobohan ke atas kehidupan penduduk Ras Ain al-Auja semakin  meningkat, bertambah buruk menjadi realiti harian apabila penceroboh bersenjata dan bertopeng menyerang kampung hampir setiap malam, merompak rumah, memukul penduduk, mencuri ternakan, dan menakut-nakutkan keluarga.

Antara Ogos 2024 hingga Mei 2025, lebih 2,200 ekor biri-biri telah dirampas dalam sekurang-kurangnya lima serangan, dengan sekitar 1,500 ekor dicuri dalam satu malam sahaja.

“Rumah kami, tanah kami, ternakan kami semuanya hilang. Anak-anak kami hidup dalam ketakutan,” kata Muhammad Hreizat, seorang penduduk yang menghadapi pengusiran. “Kami terpaksa meruntuhkan rumah kami sendiri. Ini bukan pilihan. Kami dipaksa. Kerajaan Netanyahu memaksa kami.”

Beliau berhenti seketika sebelum bertanya, “Kami berada dalam keadaan yang sangat buruk. Ke mana kami harus pergi selepas ini?”

“Ini adalah Nakba dalam bentuk baharu,” katanya. “Kami tidak perlukan bantuan kemanusiaan. Kami perlukan orang ramai berdiri bersama kami untuk mempertahankan kami dan tanah kami.”

“Tiada siapa yang berdiri bersama kami.”

Sejak kerajaan Israel sedia ada memegang tampuk pemerintahan pada 2022, penceroboh Israel bersenjata yang  dibiayai secara langsung oleh kerajaan telah mempercepatkan pengusiran  penduduk Palestin,pos-pos haram, dan merampas kawasan tanah yang luas pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Terbaharu, perkampungan kecil Palestin, Yannoun, di utara Tebing Barat telah dikosongkan sepenuhnya daripada penduduknya  selepas berbulan-bulan diserang oleh penceroboh Israel.

Perkampungan dan komuniti Badwi Palestin merupakan antara yang paling teruk terjejas yang paling teruk terjejas, dengan lebih 60 komuniti diusir sepenuhnya dan dipadamkan, kebanyakannya selepas bermulanya genosid di Gaza.

Dalam tempoh ini, pegawai kanan Israel secara terbukamendesak pengilhakan unilateral Tebing Barat yang dijajah, satu tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa, sambil secara jelas menyatakan dasar apartheid berteraskan prinsip “tanah maksimum, populasi [Palestin] minimum”.

Rasmiyyeh Ali, seorang wanita warga emas yang berdepan dari Ras Ain al-Auja, memberitahu Mondoweiss bahawa kira-kira sebulan lalu, penceroboh telah cuba membakar rumah-rumah komuniti mereka.

“Pada suatu hari, mereka mengejar anak-anak kami dengan sebuah traktor dalam cubaan untuk melanggar mereka,” kata Ali, dengan puluhan tahun penderitaan jelas terpancar di wajahnya. “Jika bukan kerana aktivis asing yang melindungi mereka, anak-anak itu pasti sudah dilanggar.”

Jamal Jumaa, penyelaras kempen akar umbi Anti-Apartheid Wall, berpandangan bahawa pemindahan paksa rakyat Palestin tidak boleh dilihat sebagai tindakan penceroboh semata-mata.

“Ini adalah keganasan negara,” kata Jumaa kepada Mondoweiss. “Usaha-usaha ini disokong secara rasmi oleh negara penjajah, dengan menggunakan penceroboh untuk melaksanakan rancangan mereka.”

Sekurang-kurangnya 90 peratus Lembah Jordan kini berada di bawah kawalan langsung negara Israel dan penceroboh. Pada Jun 2024, tentera Israel mengisytiharkan 12,000 dunam tanah Palestin di Lembah Jordan, termasuk kawasan Ras Ain al-Auja, sebagai “tanah negara”. Ia merupakan rampasan tanah terbesar di Tebing Barat yang dijajah sejak Perjanjian Oslo pada awal 1990-an.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Israel bersama organisasi separa kerajaan seperti World Zionist Organization (WZO) dan Jewish National Fund (JNF) telah membiayai pembinaan pos-pos haram serta menyediakan kemudahan asas kepada pos-pos tersebut dengan jumlah melebihi AS$26 juta.

Namun, kesan penghapusan Ras Ain al-Auja dan rampasan kawasan itu oleh penceroboh melangkaui perkampungan tersebut. Kawasan ini suatu ketika dahulu sangat popular dalam kalangan rakyat Palestin kerana mata airnya yang indah, yang menjadi asal nama kampung itu. Mata air tersebut bermula dari cerun timur tanah tinggi Ramallah dan al-Bireh, dan saluran airnya mengalir sejauh lebih 27 kilometer, membekalkan air kepada banyak oasis dan anak sungai di Lembah Jordan.

“Penjajah mahukan kawasan ini kerana ia merupakan tapak pelancongan tempatan,” kata Zayed. “Pada musim bunga, orang ramai datang ke sini beramai-ramai.”

Kini, seluruh kawasan tersebut telah dipenuhi penceroboh, dan mata air berkenaan telah diharamkan sepenuhnya daripada akses mana-mana rakyat Palestin.

Walaupun Israel dikenal pasti sebagai punca utama penghapusan berterusan Ras Ain al-Auja, ramai penduduk kampung berkata pegawai Palestin juga gagal mengambil sebarang tindakan.

“Tiada campur tangan daripada kerajaan atau gabenor Jericho,” kata Zayed. “Kami tidak mempunyai sebarang alternatif. Kami kini berada di tengah-tengah musim sejuk. Jika saya pergi, bagaimana saya hendak memastikan pendidikan anak-anak saya diteruskan? Kami ada ahli keluarga orang kurang upaya, ke mana kami harus membawa mereka? Tiada siapa yang berdiri bersama kami. Kawasan kami benar-benar terpinggir.”

Jumaa bersetuju.

“Penduduk ini sepatutnya dilindungi. Ia merupakan tanggungjawab Pihak Berkuasa Palestin untuk melaksanakan peranan tersebut,” katanya. “Namun mereka mengelak daripada semua tanggungjawab mereka.”

“Ada tanggungjawab besar di bahu mereka yang menganggap diri sebagai wakil rakyat Palestin,” sambung Jumaa. “Namun hakikatnya, mereka hanya membiarkan rakyat berdepan nasib mereka sendiri.”

Zena al-Tahhan ialah wartawan televisyen bebas dan penulis yang berpangkalan di Baitulmaqdis yang dijajah.

Available in
EnglishSpanishPortuguese (Brazil)GermanFrenchItalian (Standard)ArabicMalaysian
Author
Zena al-Tahhan
Translator
Nor Azlina Samin
Date
10.02.2026
Source
MondoweissOriginal article🔗
ApartheidPalestineIsrael
Progressive
International
Privacy PolicyManage CookiesContribution SettingsJobs
Site and identity: Common Knowledge & Robbie Blundell