El Maizal Commune terletak di pintu masuk wilayah Llanos, Venezuela, di antara negeri Lara dan Portuguesa. El Maizal Commune merupakan salah satu komun yang paling disatukan di Venezuela dengan kira-kira 3500 buah keluarga yang mendiami wilayah tersebut; tanah yang luas yang dikhaskan untuk penanaman jagung dan penternakan lembu; serta pelbagai projek yang produktif.
Ángel Prado ialah jurucakap utama komun tersebut. Dua tahun lalu beliau memenangi pertempuran yang mencabar bagi menyandang jawatan datuk bandar Simón Planas, yang merupakan perbandaran yang merangkumi sebahagian besar El Maizal bersama-sama dengan 11 komun yang lain. Dalam wawancara ini, Prado membincangkan tentang usahanya dalam menggabungkan kuasa terbentuk dengan projek berterusan untuk memupuk kuasa komunal.
Sesetengah pembaca kami sudah pasti mempunyai pengetahuan tentang El Maizal, tetapi bolehkah anda membentangkan gambaran keseluruhan tentang komun?
El Maizal merangkumi koleksi pengalaman, amalan, kejayaan dan kekalahan. Walau bagaimanapun, El Maizal, pertama sekali ialah program dan projek yang diwariskan kepada kami oleh Chávez, sebuah program yang membentuk identiti kami dan cara kami mengurus diri kami.
El Maizal melambangkan gaya hidup komunal, yang berdasarkan mencari kaedah inovatif dan pendekatan politik untuk mencipta dunia yang lebih baik. Sememangnya, gaya kehidupan baharu ini tidak ditakrifkan oleh prinsip yang mengawal sistem ekonomi kapitalis, tetapi dengan mengutamakan sumber yang mempunyai persamaan dan menjamin martabat untuk semua.
El Maizal menyatukan 27 majlis komunal dan 2335 hektar tanah komunal. Tambahan pula, El Maizal telah berjaya menghubungkan usaha mereka dengan komun lain di Simón Planas dan dalam Communard Union, yang merupakan organisasi kebangsaan yang terdiri daripada lebih 50 komun. Ini semua sangat penting kerana, seperti yang pernah dinyatakan oleh Chávez, komun tidak boleh kekal dalam keadaan terasing; jika mereka teruskan dalam keadaan begitu, mereka akan ditelan oleh sistem hegemoni, iaitu kapitalis.
Saya berpendapat bahawa El Maizal menyumbang dengan ketara kepada masyarakat dan kelas kami, kerana El Maizal mematuhi peta hala tuju Chávez. Itulah sebabnya komun kami - seperti kebanyakan komun yang lain - berfungsi sebagai mata arah, berfungsi sebagai contoh yang memberi inspirasi kepada organisasi popular di seluruh negara dan juga di seluruh dunia.
Komun bukan sekadar entiti politik; komun melambangkan model ekonomi memuncul berdasarkan hubungan sosial baharu. Bolehkah anda huraikan tentang perkara ini?
Perjuangan menentang kapitalisme berlaku secara besar-besaran; bertujuan untuk merungkai norma yang sedia ada, khususnya berkaitan harta. Itulah sebabnya pemilikan kolektif harta, pengkolektifan kerja, dan sudah tentu, pengagihan komunal lebihan adalah sangat penting.
Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan budaya harta komunal menentang individualisme yang digalakkan oleh kapitalisme. Kami berhasrat untuk menyatukan orang ramai, mengatur dalam dan untuk komuniti, dan melindungi cara pengeluaran kami, sambil terus maju ke arah perindustrian dan pengedaran langsung. Akhirnya, sasaran kami adalah untuk mengawal keseluruhan kitaran pengeluaran.
Pada masa ini, memandangkan kami merupakan pengeluar utama, lebihan pengeluaran komunal kami sering diserap oleh pasaran kapitalis. Ini ialah masalah yang serius, yang menekankan kepentingan bagi perindustrian komunal.
Perkara yang saya katakan bukan sahaja benar tentang El Maizal Commune: malah semua komun perlu menjadi komun perindustrian. Kegagalan berbuat demikian bermakna mempunyai ekonomi penakatan di pinggir sistem kapitalis sedia ada.
Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, sebahagian golongan haluan kiri global membelakangi kuasa negara. Boleh dikatakan, Chávez memainkan peranan penting dalam memperkenalkan semula konsep "mengambil alih kuasa" ke dalam wacana golongan haluan kiri.
Di Simón Planas, gerakan komunal bertujuan untuk mewujudkan kehadiran dalam ruang kuasa institusi terbentuk: Pejabat Datuk Bandar. Gerakan komunal berbuat demikian dengan menyokong kempen anda yang berjaya untuk menjadi Datuk Bandar. Mengapakah penting untuk mengawal institusi tersebut?
Sebagai penyokong kerajaan Chavista dan anggota komun, kami berhasrat untuk mengawal sumber sedia ada dan memperuntukkan sumber tersebut untuk kepentingan rakyat. Dalam kes kami, ini bermakna mengambil alih kuasa ke atas cara pengeluaran dan institusi awam di kawasan perbandaran kami.
El Maizal mempunyai sejarah panjang dalam mengubah tanah kosong dan cara pengeluaran menjadi pemilikan dan pengurusan komunal, tetapi baru-baru ini kami berjaya mengambil alih Pejabat Datuk Bandar dengan menyertai pilihan raya. Seperti Chávez, kami tidak mengelak daripada menyertai pertandingan seumpama itu.
Hala tuju kerajaan tempatan, bergantung pada pucuk pimpinan, sama ada boleh membantu atau menghalang kemajuan ke arah matlamat komunal, dan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang perkara yang pertama. Selaras dengan ideologi Chávez, kami percaya dalam mempertikaikan kuasa secara aktif: merampas dan menggunakan kuasa untuk kebaikan rakyat. Tanpa kebangkitan Chávez dalam bidang politik, komun tidak akan diterima dengan meluas. Kepimpinan beliau merupakan kunci untuk mempromosikan projek sosialis dan menghidupkan semula perbincangan tentang visi utopia yang kami cuba capai.
Sudah tentu, penting untuk memastikan yang seseorang individu tidak ditelan oleh kuasa; sebaliknya, harus berkhidmat kepada rakyat. Di negara kami, kuasa negara boleh menjadi pemangkin untuk memajukan komun, apabila digunakan secara revolusioner.
Chavez berulang kali menegaskan bahawa Venezuela pada dasarnya masih mengekalkan negara borjuis. Objektif anda sebagai Datuk Bandar bukanlah untuk mengukuhkan negara borjuis tetapi untuk mencetuskan situasi bagi pembubaran negara tersebut. Apakah bahaya dan peluang, untuk anda sebagai anggota komun, dalam menyertai politik di peringkat negeri?
Walaupun semasa hayat Chávez, terdapat kempen dalam negeri untuk memburukkan model komunal, menggambarkan komunal sebagai ketinggalan zaman, tidak berjaya atau tidak cekap. Tanggapan ini berterusan. Itulah sebabnya kami melihat penglibatan kami dalam kerajaan tempatan sebagai peluang untuk menunjukkan kecekapan anggota komun dalam menguruskan institusi dengan berkesan.
Pada awalnya, kami menghadapi banyak cabaran yang berpunca daripada keraguan yang tersebar luas. Walau bagaimanapun, kami telah menunjukkan bahawa dengan keazaman politik, pematuhan kepada prinsip, dan objektif yang jelas, kami boleh mentadbir sistem kerajaan perbandaran dengan cekap, mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat. Kami menganggap perkara tersebut sebagai alat, tetapi pemangkin sebenar untuk transformasi sosial ialah gerakan komunal.
Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan perangkap dan bahaya. Sekiranya kami mentadbir Pejabat Datuk Bandar sebagai pusat tumpuan politik, kami akan gagal sebagai revolusioner dan penyokong kerajaan Chavista, kerana kami akan mengabaikan perkara yang sepatutnya menjadi teras kehidupan politik dan ekonomi kami: komun.
Pentadbiran anda sebagai Datuk Bandar Simón Planas telah terbukti sangat berkesan. Institusi perbandaran telah menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Walaupun pencapaian ini patut dipuji, bagaimanakah hal tersebut menyumbang kepada matlamat strategik sosialisme komunal?
Dari Pejabat Datuk Bandar, kami secara aktif mempromosikan perdebatan, referendum dan proses membuat keputusan bersama. Dalam erti kata lain, perundingan merupakan aspek integral dalam bentuk tadbir urus kami, yang sepatutnya menjadi semakin komunal setiap hari.
Sebagai contoh, setahun yang lalu, kami telah menganjurkan referendum tentang pembelanjawanan penyertaan. Matlamat utama adalah untuk memansuhkan ordinan bandar lapuk yang telah dilaksanakan selama lebih dua dekad, menghalang keupayaan kami untuk membuat belanjawan, menggubal undang-undang dan mentadbir secara kerjasama dengan rakyat. Referendum tersebut mempunyai beberapa objektif khusus: kami mahu memperuntukkan semula dana yang sebelum ini dikawal oleh pegawai berpangkat tinggi kepada kerja awam dan kami mahu membuka proses membuat keputusan penting kepada pueblo.
Referendum itu berjaya. Terdapat penyertaan yang tinggi dan itu membuka jalan kepada model tadbir urus baharu yang sumber, maklumat dan proses membuat keputusan tidak lagi berada di tangan segelintir individu yang terpilih. Kini komuniti mengambil bahagian dalam hala tuju politik dan ekonomi Simón Planas, sekali gus mengukuhkan organisasi komunal.
Beberapa orang rakan seperjuangan yang telah kami hubungi di sini mengatakan bahawa "kerajaan komunal" akhirnya akan menggantikan Pejabat Datuk Bandar. Tetapi, apakah yang sebenarnya membentuk "kerajaan komunal" dalam konteks itu?
Pada asasnya, kerajaan komunal merangkumi kerajaan yang ditadbir urus oleh rakyat dan untuk rakyat. Pembentukan kerajaan ini menjadi kenyataan apabila komuniti secara kolektif memutuskan tindakan yang mesti dilakukan dan mengambil bahagian secara aktif dalam perancangan dan pelaksanaan tindakan tersebut. Kerajaan komunal beroperasi dengan autonomi, kedaulatan dan kebebasan untuk membuat keputusan tanpa kekangan institusi.
Diilhamkan oleh visi Chávez, objektif kami adalah untuk membubarkan institusi lama, seperti kerajaan perbandaran, dan menggantikan dengan ruang tadbir urus kendiri yang komited sepenuhnya untuk mewujudkan sistem yang menitikberatkan masyarakat.