Colonialism

"Imperialisme monetari" di Afrika

Dr. Ndogo Samba Sylla mengupas isu berkaitan imperialisme monetari, penentangan terhadap pengaruh Perancis di negara *Francophone* (negara penduduk berbahasa Perancis) Afrika dan penampilan perpaduan pendukung prinsip antarabangsa dengan Afrika pada masa kini.
Pada awal pagi 26 Julai 2023, anggota pengawal presiden dan angkatan tentera Niger telah menahan presiden pada masa itu, Mohamed Bazoum di kediaman beliau, kemudiannya menubuhkan pemerintahan tentera yang diterajui oleh Jeneral Abdorahamane Tchiani. Satu sebab yang dinyatakan bagi rampasan kuasa tersebut: ketidakpuasan hati terhadap pengaruh tentera, politik dan ekonomi Perancis yang berterusan ke atas wilayah yang dijajah sebelum ini.
Pada awal pagi 26 Julai 2023, anggota pengawal presiden dan angkatan tentera Niger telah menahan presiden pada masa itu, Mohamed Bazoum di kediaman beliau, kemudiannya menubuhkan pemerintahan tentera yang diterajui oleh Jeneral Abdorahamane Tchiani. Satu sebab yang dinyatakan bagi rampasan kuasa tersebut: ketidakpuasan hati terhadap pengaruh tentera, politik dan ekonomi Perancis yang berterusan ke atas wilayah yang dijajah sebelum ini.

Ini bukanlah kali pertama, mahupun yang terakhir, bekas tanah jajahan Perancis mengalami rampasan kuasa sebegitu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kejadian ini membangkitkan semula perhatian kepada persoalan neokolonialisme, kebergantungan dan perjuangan untuk kedaulatan bagi negara Francophone (negara penduduk berbahasa Perancis) Afrika.

Bagi mengupas isu-isu ini, Michael Galant dari Progressive International telah menemu bual Dr. Ndongo Samba Sylla, seorang tokoh yang semakin mendapat pengiktirafan dalam bidang ekonomi politik Afrika, dan pengkritik terkemuka bagi isu "imperialisme monetari" di Afrika Barat dan Tengah. 

Wawancara ini muncul buat julung kalinya dalam isu #60 The Internationalist. 

MG: Ndongo, terima kasih kerana menyertai kami.

NSS: Terima kasih kerana mengundang saya.

MG: Selepas beberapa dekad penjajahan kejam, dan tentangan yang diperjuangkan secara berterusan untuk jangka masa yang sama, tahun 1950-an dan 60-an telah menyaksikan gelombang kemenangan dalam perjuangan bagi pembebasan nasional negara Afrika yang dijajah oleh Perancis.

Namun, sama seperti sebahagian besar negara di seluruh dunia, mencapai kemerdekaan nominal tidak semestinya menghasilkan kemerdekaan yang hakiki. Bolehkah anda menceritakan kepada kami serba sedikit tentang Françafrique (Afrika Perancis) — bagaimanakah cara Perancis mengekalkan pengaruhnya di rantau ini dalam era pascakemerdekaan, dan apakah implikasi kepada penduduk yang tinggal di sana?

NSS: Semua bekas tanah jajahan Perancis di selatan Sahara tidak pernah benar-benar mencapai kemerdekaan, kecuali Guinea yang berada di bawah pemerintahan Sékou Touré, Kerajaan Perancis menawarkan mereka perjanjian berikut: "Saya memberikan kemerdekaan kepada wilayah anda dengan syarat anda melepaskan kedaulatan dalam bidang seperti hal ehwal luar negeri, perdagangan luar negeri, bahan mentah strategik, pendidikan, pertahanan, pengurusan monetari dan kewangan, dll." Pemimpin Afrika yang bersetuju untuk menandatangani "perjanjian kerjasama" dalam semua bidang ini ialah ahli politik yang umumnya dilatih di Perancis semasa zaman penjajah. Sebahagian daripada mereka ialah ahli parlimen atau anggota kerajaan metropolitan Perancis. Ramai dalam kalangan mereka tidak mahu negara mereka merdeka. Jeneral de Gaulle melakukan skim neo-kolonial ini kerana, pada pandangan beliau, penguasaan Afrika dan kawalan ke atas sumber negara itu merupakan syarat asas bagi autonomi strategik Perancis dalam konteks Perang Dingin. Berdasarkan pilihan ini, kerajaan Perancis tidak pernah membenarkan penduduk di bekas tanah jajahannya untuk memilih pemimpin mereka sendiri secara bebas. Fenomena ini — merujuk kepada Afrika Francophone (negara penduduk berbahasa Perancis) yang, walaupun mencapai kemerdekaan nominal, terus tertakluk kepada pelbagai bentuk pengaruh neo-kolonial Perancis — yang sering dipanggil "Françafrique” (Afrika Perancis).

Dalam jangka masa panjang, akibat imperialisme Perancis ialah pembangunan tertinggal yang kronik di bekas tanah jajahan Perancis yang terletak di selatan Sahara, di samping sistem politik reaksioner yang telah berakar umbi serta tidak mengendahkan pendapat atau keinginan penduduk, walaupun kadangkala mereka secara rasmi kononnya dilabelkan sebagai "demokratik". Akibatnya, golongan pemimpin terkaya di dunia — sering disokong oleh Perancis dan kuasa Barat — mentadbir sebilangan negara paling miskin di dunia.

 MG: Karya anda memberi tumpuan secara khusus pada peranan Franc CFA — dua mata wang yang digunakan di Afrika Barat dan Tengah — dalam mengekalkan "imperialisme monetari." Apakah yang dimaksudkan dengan imperialisme monetari, dan apakah yang mewakili alternatif istilah tersebut, kedaulatan monetari?

NSS: Sepanjang dua abad yang lalu, negara-negara yang mempunyai cita-cita imperialis sering mengenakan penyusunan monetari dan kewangan yang mengekang dan merugikan ke atas wilayah yang mereka kuasai — mengenakan sistem kadar pertukaran tetap yang tegar; mengawal rizab pertukaran asing mereka, sistem kewangan dan peruntukan kredit dan lebihan ekonomi. Sebagai tambahan kepada fungsi disiplin fahaman itu (yang melibatkan kemungkinan mengaktifkan sekatan), imperialisme monetari berfungsi untuk mengukuhkan kuasa ekonomi dan kewangan negara-negara dominan, yang menikmati akses yang hampir-hampir tidak terhad kepada sumber manusia dan material negara yang dikuasai.

Imperialisme monetari ini telah memperlihatkan kehadiran dalam pelbagai cara di seluruh dunia, dari Afrika ke Asia ke Amerika Latin dan Caribbean.[[1]](https://d.docs.live.net/a13a5c5fdef0c614/Documents/The%20Internationalist%20--%20Ndongo%20Samba%20Sylla%20-%20FINAL.docx%23_ftn1) Berkaitan franc CFA, pada asalnya Franc bagi tanah jajahan Perancis di Afrika, diwujudkan pada tahun 1945 dan diedarkan dalam wilayah subSahara empayar Perancis. Dalam landskap global ekonomi dan kewangan baharu yang dikuasai oleh AS dan dolar AS, sistem mata wang kolonial ini membolehkan Perancis menyimpan rizab dolar yang terhad, kerana Perancis boleh membeli semua barangan import dalam zon CFA menggunakan mata wang sendiri. Sistem tersebut juga membolehkan Perancis memperuntukkan rizab dolar tanah jajahan Perancis untuk import sendiri dan menyumbang kepada penstabilan kadar pertukaran. Semasa Perang Dunia II, gangguan dalam perdagangan antara Perancis dan tanah jajahan Afrika mendorong sistem mata wang kolonial memainkan peranan penting dalam membantu Perancis menuntut semula bahagian perdagangan yang telah hilang dalam masa yang sama . Selepas kemerdekaan, sistem imperialisme monetari ini tidak berubah dalam prinsip operasi. Hal ini “disebabkan” oleh perjanjian kerjasama seperti yang saya nyatakan di atas. Pada masa ini, kedua-dua mata wang — CFA Afrika Barat dan CFA Afrika Tengah, masing-masing digunakan oleh lapan dan enam buah negara — penetapan terus kepada Euro (sebelum ini Franc Perancis), dengan berkesan mengambil alat penting dasar monetari daripada bidang kuasa kerajaan bebas dan meletakkan di bawah kawalan Perbendaharaan Perancis dan pihak berkuasa politik dan monetari zon euro.

Setakat imperialisme monetari membayangkan untuk menafikan kuasa negara-negara menggunakan wang dan kewangan domestik bagi pembangunan autonomi mereka sendiri, hal tersebut merupakan penghalang untuk mencapai kedaulatan ekonomi dan monetari. Kedaulatan monetari tidak seharusnya ditakrifkan semata-mata sebagai hak kerajaan untuk mengeluarkan mata wang sendiri. Perkara tersebut mestilah, pada pendapat saya, harus ditakrifkan pertamanya, mengikut Teori Kuantiti Wang Moden (MMT), dalam erti kata keupayaan kerajaan untuk berbelanja tanpa kekangan kewangan intrinsik, tetapi hanya had dari perspektif ketersediaan sumber sebenar. Bagi negara-negara yang terletak di Selatan, tahap kedaulatan monetari mereka yang lebih rendah mencerminkan kekurangan kawalan ke atas sumber sebenar mereka (sering dicuri oleh syarikat transnasional, yang kadangkala memaksa negara-negara ini untuk meminjam dalam mata wang asing pada kadar faedah yang tinggi) dan penggunaan model ekonomi - bersifat ekstraktif - yang mengukuhkan lagi keperluan mereka untuk memegang dolar AS, memandangkan sistem pembayaran antarabangsa sehingga kini berkisar pada dolar AS.

 MG: Mali, Burkina Faso, Niger, Gabon. Sepanjang tiga tahun yang lalu, gelombang rampasan kuasa tentera telah melanda Afrika Francophone (negara penduduk berbahasa Perancis). Walaupun setiap kes adalah unik, kebanyakannya kelihatan mempunyai persamaan sedikit sebanyak agenda penentangan terhadap pengaruh Perancis yang diisytiharkan. Bagaimanakah kita harus mentafsir peralihan yang kelihatan penting ini?

NSS: Walau apa pun pendapat individu tentang rampasan kuasa negara, penting untuk mengkaji perkara tersebut secara saintifik. Kesusasteraan mengenai rampasan kuasa di Afrika kebanyakannya menggunakan perspektif berpusatkan Barat dan tidak mempunyai konteks sejarah. Kesusasteraan tentang rampasan kuasa negara di Afrika pada dasarnya adalah bertumpuan Barat dan polos sejarah. Afrika ialah sebuah benua yang sangat luas yang terdiri daripada 55 buah negara. Sempadan yang kita ada pada hari ini telah ditubuhkan semasa Persidangan Berlin pada tahun 1885 untuk tujuan pembahagian penjajah, tanpa mengambil kira ikatan budaya dan identiti. Kolonialisme pada dasarnya ialah perusahaan ekstraktif, dan tidak membenarkan sebarang pembangunan institusi secara autonomi dalam erti kata demokratik. Lebih membimbangkan, sistem ini memanipulasi dan mengeksploitasi identiti etnik dan komuniti. Begitulah keadaan semasa kemerdekaan. Perkara yang memburukkan lagi keadaan ialah konteks Perang Dingin, apabila kuasa Timur dan Barat menegaskan hak mereka untuk campur tangan, sama ada untuk menyokong sekutu mereka atau menggulingkan rejim yang mereka yang tentang. Memandangkan bebanan warisan sejarah ini, seseorang perlu benar-benar bersikap berat sebelah untuk mempercayai bahawa setiap negara Afrika boleh menjadi model "demokrasi liberal" dalam sekelip mata. Apabila ditinjau kembali, ini ialah perkara yang "normal” - dalam erti kata statistik - bagi Afrika untuk mengalami banyak pemberontakan kilat pihak tentera antara tahun 1960 hingga 1990, (dengan berakhirnya Perang Dingin). Perkara itu merupakan satu "pencapaian" bersejarah yang mengagumkan bagi Afrika untuk mengatasi cabaran tersebut dalam masa empat dekad sahaja (jika dibandingkan dengan pengalaman negara-negara Amerika Latin dari kemerdekaan mereka pada abad ke-19 hingga tahun 1990).

Sembilan rampasan kuasa yang disaksikan di Afrika sejak tahun 2020 tercetus daripada punca dan motivasi serta-merta yang berbeza. Namun rampasan kuasa tersebut mematuhi dua penentu struktur yang luas. Pertama, rampasan kuasa melibatkan negara-negara yang terletak di zon yang ditenterakan oleh kuasa Barat, merangkumi negara-negara dalam wilayah Sahel - Mali, Burkina Faso, Niger, Chad, dan Sudan. Kedua, rampasan kuasa berlaku secara tidak seimbang di bekas tanah jajahan Perancis, juara dunia dalam rampasan kuasa sejak tahun 1960 hingga kini. Sejak tahun 2020, lapan daripada sembilan rampasan kuasa tentera yang direkodkan di Afrika berlaku di negara penduduk berbahasa Perancis.

 MG: Rampasan kuasa ini nampaknya telah mencetuskan harapan yang tinggi bahawa status quo neokolonial mungkin boleh dibatalkan. Pada masa yang sama, ada yang ragu-ragu bahawa laluan menuju ke sosialisme atau kuasa demokrasi untuk rakyat yang bekerja, menempuhi rampasan kuasa dan pemerintahan tentera dengan agenda yang tidak jelas. Apakah had kepada, atau percanggahan dalam, potensi pembebasan gelombang rampasan kuasa ini?  Bolehkah had ini diatasi?

NSS: Dalam buku yang bakal diterbitkan hasil kerjasama dengan pengarang bersama saya, wartawan warga Perancis Fanny Pigeaud, kami mengkaji sejarah demokrasi dan pilihan raya di bekas tanah jajahan Afrika Perancis sepanjang tempoh 1789-2023. Kami juga memperincikan sebab yang kedua itu dikatakan sebagai juara rampasan kuasa tentera. Secara ringkasnya, lebih mudah untuk mengatur pemberontakan kilat di negara-negara ini disebabkan keadaan kerajaan yang lemah. Apatah lagi, dengan pemimpin yang memegang tampuk kuasa semakin meningkat tua dan calon muda awam yang semakin diketepikan daripada proses pilihan raya, disebabkan manipulasi perlembagaan yang sering dilakukan dengan bantuan pakar Perancis, hakikatnya hanya golongan muda berpakaian seragam yang boleh mencapai "pertukaran generasi". Di wilayah Sahel, pemberontak kilat terdiri daripada golongan muda yang telah menggulingkan pemimpin yang agak berusia. Akhirnya, disebabkan pengaruh Perancis yang mengenakan cengkaman ke atas pemilihan pemimpin di negara-negara Afrika berbahasa Perancis di selatan Sahara, hanya pemimpin tentera yang kadang kala boleh mencadangkan projek politik yang menyimpang daripada neo-kolonialisme Perancis. Kes paling terkemuka ialah Thomas Sankara, yang mengambil alih kuasa pada usia 33 tahun dan dibunuh empat tahun kemudian.

Ini bukan untuk mengatakan bahawa tentera sememangnya progresif. Sama sekali tidak. Namun, di mana-mana sahaja Imperialisme telah menindas para intelektual, pemimpin, dan gerakan berhaluan kiri secara sistematik dan meneruskan kerjasama dengan sekutu tempatan untuk mengacau-bilaukan tuntutan popular, tentera sering menjadi satu-satunya pasukan teratur yang mampu menawarkan alternatif kepada status quo tersebut. Dalam konteks pembangunan tertinggal yang kronik, kemungkinan bagi perubahan mendadak sedemikian sering mendapat sokongan meluas. Namun begitu, sementara rampasan kuasa tertentu, seperti yang berlaku di Mali, Burkina Faso dan Niger, menyatakan tentangan secara terang-terangan terhadap neo-kolonialisme Perancis (dan kekal samar-samar bersabit dengan ketenteraan Rusia dan AS di Sahel), yang lain telah menerima sokongan secara terbuka daripada kerajaan Perancis, seperti di Chad dan Gabon.

Berita baiknya ialah penduduk Afrika tidak lagi memihak kepada pemimpin dikawal dari luar. Di tengah-tengah kebangkitan semula sentimen pan-Afrika, mereka sewajarnya berhasrat untuk menikmati kemajuan dan kebebasan ekonomi. Sekiranya pemberontakan berterusan ini bertujuan untuk menghasilkan projek pembebasan yang tulen, perkara itu memerlukan peralihan ke arah bentuk organisasi demokratik, untuk melangkaui "demokrasi liberal/oligarki" yang kekangan telah menjadi jelas, dan pembentukan agenda untuk transformasi ekonomi bagi memberi khidmat kepada penduduk dan oleh penduduk. Dua elemen yang kurang sehingga kini.

MG: Untuk makluman para pembaca The Internationalist — apakah penampilan perpaduan dengan penduduk Afrika Francophone (negara penduduk berbahasa Perancis) pada masa ini?

NSS: Perpaduan antarabangsa memerlukan, terutamanya, memahami situasi yang sedang berlaku dan keupayaan untuk menyampaikan dalam bahasa yang bukan sahaja bebas daripada unsur berat sebelah dan mendiamkan diri terhadap sentrisme Barat, tetapi juga kritikal dalam erti kata yang sebenarnya (perpaduan Selatan-Selatan seharusnya tidak mengabaikan amalan yang patut dikeji di negara-negara komrad atau sekutu). Dalam hal ini, saya berharap Progressive International dapat menyumbang kepada penyampaian perjuangan menentang penjajahan monetari Perancis, penenteraan benua oleh negara-negara Barat, sekatan ekonomi yang menyesakkan yang dikenakan terhadap mereka yang mengingkari perintah pimpinan Barat, dasar penghijrahan yang tidak berperikemanusiaan Kesatuan Eropah di tanah Afrika, dsb.


[[1]](https://d.docs.live.net/a13a5c5fdef0c614/Documents/The%20Internationalist%20--%20Ndongo%20Samba%20Sylla%20-%20FINAL.docx%23_ftnref1)Dalam kes England, di bawah Standard Emas Antarabangsa, sistem imperialisme monetari telah diterangkan dengan baik oleh Utsa Patnaik berhubung dengan India, dan oleh Wadan Narsey secara lebih umum. Karya Narsey dan Gerold Krozewski menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh negara-negara Afrika seperti Nigeria dan Ghana dalam mengekalkan zon sterling selepas Perang Dunia Kedua. Peter James Hudson, dalam bukunya, Bankers and Empire, menerangkan sistem dominasi kewangan ketenteraan yang ditubuhkan di Caribbean oleh kuasa Barat dan bank utama mereka dari Revolusi Haiti (tahun 1804) hingga ke hari ini. Bagi sistem imperialisme monetari global di bawah hegemoni AS, karya Michael Hudsonmasih sangat diperlukan. Penyelidikan hebat Lumbake atas Filipina melibatkan kes kebergantungan monetariyang kurang diketahui.

Dr Ndogo Samba Sylla merupakan Pengarah Penyelidikan dan Dasar Afrika di Rakan Bersekutu Ekonomi Pembangunan Antarabangsa (IDEAs) dan pengasas bersama Inisiatif Kedaulatan Ekonomi dan Monetari Afrika. Beliau ialah pengarang, pengarang bersama atau editor pelbagai buku, termasuk Africa's Last Colonial Currency (Mata Wang Kolonial Terakhir Afrika), Economic and Monetary Sovereignty in 21st Century Africa (Kedaulatan Ekonomi dan Monetari di Afrika Abad Ke-21); Revolutionary Movements in Africa (Gerakan Revolusioner di Afrika): Kisah yang Tidak Dipaparkan; dan, seperti yang beliau ulas di bawah, De la Démocratie en Françafrique, buku yang bakal diterbitkan. Une histoire de l'Impérialisme électoral (pengarang bersama Fanny Pigeaud). Beliau juga merupakan penyandang gelaran juara dunia pemain Skrabel Perancis.

Available in
EnglishSpanishPortuguese (Brazil)GermanFrenchHungarianTurkishKoreanMalaysianPolishBengaliUrduGreekRussianHindiItalian (Standard)
Author
Dr. Ndogo Samba Sylla
Translators
Norhaniza Nuruddin and ProZ Pro Bono
Date
27.02.2024
Source
Original article🔗
ColonialismEkonomi
Privacy PolicyManage CookiesContribution Settings
Site and identity: Common Knowledge & Robbie Blundell